Ahad, 27 Mac 2011

Tabung Penyakit Kronik – rakyat dapat faedah

Kes 1:

Kanak-kanak berusia lapan tahun, Ayub Mansor dari Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu, sepatutnya berada di sekolah pada setiap hari persekolahan. Bagaimanapun, disebabkan dia menghidap penyakit jantung yang kronik, kanak-kanak malang itu terpaksa menghabiskan banyak masa di atas katil.

Keluarga Ayub sedih apabila melihat dia tidak dapat bermain dengan kanak-kanak sebaya dan terpaksa berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan rawatan.

Kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ke rumah keluarga Ayub kira-kira dua tahun lalu, telah merubah segala-galanya. Menteri Besar meminta Ayub dibawa ke Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan dan semua kos ditanggung oleh kerajaan negeri.

Selepas menjalani pembedahan dan rawatan, kini Ayub bukan saja boleh ke sekolah pada setiap hari, tetapi dia juga mampu mengayuh basikal keliling kampung.

Kes 2:


Mohd Khaidill Sharifuddin, 5, dari Kampung Lubuk Lesong, Kemaman, juga menghidap penyakit jantung. Pemeriksaan doktor mendapati terdapat ‘ventricular septal defect’ iaitu lubang berukuran 10 mm di antara lubang bilik jantung kiri dan kanan kanak-kanak malang itu.


Pesakit kemudiannya menjalani pembedahan di hospital yang sama di mana 100 peratus kosnya ditanggung oleh kerajaan.

Kini Mohd Khaidill mampu menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal dan tidak perlu berulang-alik ke hospital seperti sebelum ini.


Kes 3:


Puan Nafisah Abdul Rahman, dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu tidak dapat meneruskan pekerjaan sebagai tukang jahit setelah menghidap penyakit kanser servik. Ibu tunggal berkenaan bukan setakat menganggung kesakitan akibat penyakit tersebut, tetapi kehidupan keluarganya juga terjejas kerana dia tidak mampu bekerja.

Bagaimanapun, kini Puan Nafisah berada dalam keadaan sihat setelah dia menjalani rawatan di Pusat Perubatan Prince Court selama hampir sebulan. Dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah menanggung kos rawatan tersebut.

Begitulah gambaran tiga kes pesakit di negeri ini yang telah menerima kemudahan rawatan daripada Tabung Penyakit Kronik yang diwujudkan Kerajaan Terengganu khusus bagi membantu rakyat yang menghidap penyakit kronik.

Peruntukan RM10 juta disediakan bagi menubuhkan tabung tersebut bagi membiayai rawatan untuk menyembuhkan penyakit mereka.

Inilah sebahagian daripada sikap prihatin kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad, bagi memastikan rakyat mendapat yang terbaik selaras dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...