Selasa, 28 Oktober 2014

KAPAL KARGO UMT: SPRM perlu siasat perolehan UMT


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat pengurusan perolehan kapal penyelidik RV Discovery oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dibina dengan kontrak bernilai RM14.39 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata UMT gagal menguruskan perolehan kapal itu dengan baik kerana tidak bertindak sewajarnya semasa proses tender.
"Perolehan kapal RV Discovery dirumuskan sebagai projek sakit dan walaupun kapal siap dibina, ia bukan satu kapal penyelidikan dan merupakan satu pembaziran," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penggal kedua PAC di Parlimen, di Kuala Lumpur.

Nur Jazlan berkata berlaku perubahan kerja iaitu mengubah badan kapal daripada besi kepada aluminium selepas tiga bulan perjanjian ditandatangani, dan tanpa mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Melulus.
"Ini menyebabkan klasifikasi kapal direndahkan dari kapal penyelidikan kepada kapal kargo," katanya.
Laporan PAC berhubung pengurusan perolehan kapal penyelidikan dan latihan RV Discovery oleh UMT dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini, selepas prosiding berkaitan perkara itu diadakan pada 2 April lepas.
Perolehan kapal RV Discovery ditawarkan secara tender terbuka kepada kontraktor tempatan pada nilai RM11.99 juta dengan tempoh penyiapan selama 80 minggu iaitu dari 8 Sept 2008 hingga 22 Mac 2010.
Bagaimanapun, ekoran dua perubahan kerja, kapal itu hanya boleh digunakan pada 18 Oktober 2013 yang mengakibatkan peningkatan kos kepada RM14.39 juta.
Sehubungan itu, PAC juga mengesyorkan tindakan diambil terhadap beberapa pegawai atasan UMT termasuk dua bekas naib canselornya iaitu Datuk Prof Dr Abd Aziz Deraman dan Datuk Prof Dr Sulaiman Md Yassin, serta Pengarah Pembangunan UMT Ir Mohd Zaideen Yusoff.
"PAC amat tidak berpuas hati dengan pengurusan perolehan kapal yang tidak mencapai objektif yang disasarkan dan mendapati pegawai pengawal UMT yang terlibat cuai dan tidak cekap dalam melaksanakan tanggungjawab," katanya.
Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 3 mendapati pengurusan perolehan kapal penyelidikan dan latihan RV Discovery tidak memuaskan dan tidak mencapai objektif sebenar. – Bernama, 27 Oktober, 2014.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...