Mungkin kerana kejadian
ini jarang atau tidak pernah berlaku maka apa yang jadi di Pendang Kedah
semalam menjadi topik panas di dunia maya oleh pengguna media sosial seluruh
negara.
Dalam kejadian tersebut puluhan rumah rosak selepas puting beliung melanda
Kobah Pendang petang Selasa.
Fenomena tersebut mencetuskan kegemparan selepas disebarkan segara meluas
di media sosial.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.30 petang Selasa selama 20 minit.
Angin berpusar setinggi bangunan empat tingkat itu dilihat terbentuk
sejurus hujan lebat melanda, sebelum menerbangkan bumbung dan dinding beberapa
rumah di Kampung Alor Besar.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia memberitahu kejadian
puting beliung ini adalah satu fenomena yang jarang berlaku di negara ini.
"Namun ianya boleh berlaku apabila terdapatnya kelembapan yang tinggi
dan penumpuan angin di paras rendah serta ketidakstabilan atmosfera yang
bertindak sebagai pemangkin untuk pembentukan kejadian ini."
Bagaimanapun kata jabatan tersebut, kejadian ini tiada kaitan dengan
kehadiran Ribut Tropika Vongfong di Jepun dan Siklon Hudhud di India.
Ratusan gambar kejadian termasuk video kemudiannya membanjiri media sosial
menunjukkan dengan lebih terperinci kejadian dan kesan kemusnahan tersebut.
Sementara itu penduduk Kampung Alor Besar Koboh tempat kejadian itu berlaku
turut menceritakan detik kejadian puting beliung itu.
"Tiada apa mampu kami lakukan selain daripada menjerit, menangis,
serta mengucap dua kalimah syahadah berkali-kali sambil berpelukan di ruang
tamu rumah," demikian pengakuan Shariza Abu Hassan, 27.
Yusni Shariff, 29, pula berkata, dia turut terdengar jeritan jiran-jiran
dan keadaan semakin panik apabila melihat bumbung sekolah terbang dan menimpa
bahagian atas rumahnya.
"Melihat keadaan makin buruk dengan cermin tingkap pecah, kami
mengambil keputusan keluar dari rumah. Namun, sebaik sahaja hendak keluar, kami
melihat pokok mangga besar di depan rumah pula tumbang selain banyak 'barang'
yang diterbangkan angin.
"Kami membatalkan hasrat itu dan berpelukan di ruang tamu. Kami hanya
bertawakal dan berkali-kali mengucap dua kalimah syahadah kerana masing-masing
sudah teringatkan mati," katanya.
Katanya, kejadian paling menakutkan dalam hidupnya itu berlaku lebih 20
minit sebelum keadaan kembali tenang.
Selain beberapa buah rumah, dua buah kereta milik Shariza dan bapa
saudaranya juga didapati mengalami kerosakan.-15/10/2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan