GUWAHATI 7 Mac – Kerajaan negeri Nagaland di timur laut India,
bertindak menggantung tiga pegawainya dari tugas semalam berikutan kejadian
seorang suspek perogol diheret keluar dari sebuah penjara dan dipukul sehingga
mati oleh ratusan penduduk.
Mereka yang digantung tugas
ialah seorang hakim majistret daerah Dimapur, superitendan polis dan warden
penjara, kata Ketua Menterinya, T. R. Zeliang.
Tindakan itu dilakukan
apabila sekumpulan penduduk membelasah sehingga mati suspek kes rogol berkenaan
selepas dia dibogelkan dan diheret sejauh enam kilometer.
Polis juga melancarkan operasi
memburu beberapa orang lelaki yang dipercayai mendalangi insiden itu.
Dalam insiden semalam,
seorang orang awam turut terkorban, sementara beberapa yang lain cedera apabila
polis bertindak melepaskan tembakan ke arah kumpulan demonstrasi berkenaan.
Beberapa buah kedai dan
perniagaan juga terpaksa ditutup di Dimapur hari ini dan pasukan tentera telah
dikerah melakukan kawalan keselamatan di sekitar bandar tersebut yang kini di
bawah perintah berkurung.
Pembunuhan suspek kes rogol
itu mencetuskan kebimbangan di seluruh India, berhubung keganasan seksual yang
sering terjadi dalam kalangan wanita.
Suspek ditangkap pada 24
Februari lalu kerana disyaki merogol seorang wanita tempatan.
Menteri Dalam Negeri, Rajnath
Singh telah meminta satu laporan tentang kejadian pecah masuk penjara itu
diserahkan kepadanya.
Sementara itu, insiden tersebut
turut mencetuskan bantahan dari negeri jiran, Assam yang merupakan tempat asal
suspek rogol berkenaan yang dikenali sebagai Farid Khan.
Kumpulan penunjuk perasaan
di Assam bertindak membuat satu sekatan jalan raya di kawasan tersebut dan
menahan beberapa lori yang membawa barangan serta kenderaan lain dari memasuki
Nagaland.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan