Khamis, 10 Mac 2011

Giliran pemain muda pula ke liga Slovakia

PETALING JAYA - Pemain muda negara ke Slovakia lagi.

Bezanya kali ini bukan lagi skuad Harimau Muda yang akan ke sana sebaliknya pasukan muda negara dijemput beraksi dalam Liga Bawah 15 dan 16 negara itu pada 2012 dan 2013.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, wakil Kedutaan Slovakia di sini menemuinya pada 2 Februari lalu dan menyatakan hasrat daripada Persatuan Bola Sepak (FA) Slovakia.

"Sambil mengucapkan tahniah di atas pencapaian Malaysia pada kejohanan Piala Suzuki AFF, dia berkata FA Slovakia turut berbangga dengan kejayaan berkenaan kerana sebahagian pemain skuad negara pernah menimba ilmu di sana.


"Sepatutnya jemputan itu pada tahun ini tetapi memandangkan banyak perkara perlu dipenuhi seperti faktor kewangan, jadi FAM meminta ia ditangguhkan sehingga tahun depan dan ia dipersetujui oleh FA Slovakia.

"Ia merupakan satu penghormatan besar kepada Malaysia di samping hubungan FAM dan FA Slovakia yang semakin rapat dalam konteks pembangunan bola sepak," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Skuad Bawah 15 dan 16 negara akan mula beraksi dalam Liga Slovakia pada Februari 2012 hingga Mei, sebelum liga rehat tiga bulan dan disambung pada September hingga Disember.

Tambah Azzuddin, memandangkan semua pemain yang bakal ke sana masih bersekolah, FAM akan mendapatkan bantuan Kementerian Pelajaran.

"Mungkin akan ada guru yang dibawa bersama ke sana bagi memastikan pemain terlibat tidak keciciran pelajaran mereka.

"Kami juga berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan yang sewajarnya, memandangkan kali ini dua skuad akan dihantar ke sana berbanding dua musim lalu, " katanya.

Sebelum itu, dalam sidang media mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, FAM dalam perancangan membina satu rangkaian pencarian pemain berbakat di seluruh negara seawal 9 dan 10 tahun.

"Sudah sampai masanya kita mempunyai satu jumlah pemain muda yang ramai seperti mana Jepun yang memiliki 200,000 pemain muda.

"Mereka yang dilantik mencari pemain berbakat ini mungkin terdiri daripada bekas pemain kebangsaan dan mereka dikehendaki membuat perancangan rapi.

"FAM harap dengan cara ini ia dapat membantu pencarian pemain berbakat secara menyeluruh sehingga di pelosok kampung, " kata Tengku Abdullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...