Penyertaan Terengganu dalam Pameran Gulfood 2010, Dubai 2011 bakal membuka lembaran baru dalam industri makanan negara apabila respon yang menggalakkan diterima daripada pengusaha makanan di seluruh dunia khususnya untuk pasaran Timur Tengah.
Sebanyak 120 respon positif melibatkan pengusaha makanan dari Emeriah Arab Bersatu, Kuwait, Iraq, Angola, India, Pakistan dan Swaziland diterima sepanjang ekspo tiga hari yang bermula 27 Februari itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membawa lima pengusaha produk tempatan yang terdiri daripada kopi, `beef steak & grilled chicken’, roti canai segera, murtabak segera, minuman sarang burung, sardin dan susu krim.
Katanya, sebanyak 3,800 syarikat daripada seluruh dunia termasuk hampir 50 syarikat pengeluar makanan daripada Malaysia menyertai ekspo yang bertujuan meluaskan jaringan pemasaran produk Industri Kecil sederhana Terengganu ke seluruh dunia terutama di Timur Tengah.
Beliau yang mengetuai penyertaan kali kedua Terengganu ke ekspo berkenaan berkata, respon yang diterima amat menggalakkan dan mencetus dimensi baru dalam merancakkan ekonomi negeri dan negara terutama dalam IKS.
“Rundingan lanjut dengan ejen dan pengusaha yang memberi respon baik kepada produk tempatan dan IKS Terengganu itu sedang dilaksanakan dengan terperinci menerusi pegawai YPU.
“Kita menjangkakan proses rundingan itu akan membawa kepada rundingan kontrak dan jualan dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang dan produk Terengganu akan menembusi pasaran di seluruh dunia pada masa depan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan