Selasa, 8 Mac 2011

Menabung Untuk Pendidikan Masa Depan Anak-Anak - MB


Kebanyakan kaum Melayu di negeri ini tidak membuat tabungan dan merancang pendidikan masa depan untuk anak-anak sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan yang disediakan kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat semata-mata.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sikap buruk itu menyebabkan mereka terpaksa menagih simpati pelbagai pihak bagi memastikan anak mereka dapat meneruskan pelajaran terutama ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang memerlukan kos pengajian yang tinggi.


“Apabila dapat masuk universiti, orang lain biasanya gembira dan suka sangat, tapi orang Melayu kebanyakannya menjadi semakin susah hati kerana tiada wang simpanan bagi membiayai urusan anak belajar. Sedangkan tabungan itu penting demi masa depan anak-anak dalam pendidikan,” kata beliau ketika berucap di Majlis Penyerahan e-Book Sekolah-sekolah Rendah Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk, di Dewan Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini (7 Mac).


Seramai 832 murid Tahun Lima melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering (106 orang), SK Gong Tok Nasek (107 orang), SK Kubang Ikan (140 orang), SK Pusat Kuala Ibai (173 orang) SK Seri Budiman (202 orang) dan SK Seri Budiman 2, 104 orang menerima e-Book masing-masing.

Menteri Besar berkata, apa yang terjadi kepada orang Melayu itu tidak pula berlaku kepada kaum lain kerana mereka menabung dan bersedia untuk keperluan pendidikan anak-anak pada masa depan.

Katanya, walaupun kadangkala melihat karektor dan gaya kaum lain, seakan mereka hidup susah dan tidak mempunyai pekerjaan yang baik, mereka hakikatnya mempunyai simpanan sebagai jaminan hidup dan masa depan anak-anak mereka kelak.

“Ini terbukti apabila lebih 90 peratus pelajar Melayu yang memasuki universiti terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan. Kaum lain terutama Cina dan India tidak memohon bantuan kerajaan kerana mereka sudah bersedia dengan wang tabungan dan simpanan masing-masing,” katanya.

Malah, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sepanjang beliau menjadi wakil rakyat di kawasannya, tidak pernah kaum lain memohon bantuan pelajaran melaluinya selain kaum Melayu.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah memilih bulu untuk mengagihkan bantuan kepada rakyat kerana sesiapa sahaja yang layak akan memperolehinya khususnya bagi memastikan semua rakyat terutama anak Melayu tidak keciciran dan sentiasa maju dalam pelajaran sekaligus mampu keluar dari kepompong kemiskinan.


Katanya, pelbagai bantuan pelajaran yang disediakan kerajaan negeri serta Pusat untuk seluruh rakyat negeri ini sejak prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah menjejakkan kaki ke universiti.

Antara bantuan pelajaran yang disediakan kerajaan termasuklah skim Rancangan Makanan Tambahan, susu segar percuma, skim biasiswa, bantuan pakaian sekolah, bantuan pendahuluan memasuki universiti dan insentif kepada pelajar cemerlang dalam setiap peperiksaan awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...