Rabu, 23 Julai 2014

Bubur lambuk Pasir Gudang pecah rekod Terengganu

PASIR GUDANG – Inisiatif  Biro Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kemasyarakatan Umno Pasir Gudang memasak 350 periuk bubur lambuk mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records.

Kejayaan itu sekaligus memintas rekod terdahulu pada tahun 2009 yang dicipta Pejabat Perpaduan dan Integrasi Nasional, Dungun, Terengganu apabila berjaya memasak sebanyak 270 periuk bubur lambuk.

Sijil pengiktirafan disampaikan oleh Pegawai Eksekutif The Malaysia Book Of Records, Zulhairi Md Zin kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, semalam.

Mohamed Khaled dalam ucapannya turut memuji kesepakatan dan kerjasama yang ditunjukkan semua pihak terlibat untuk menyiapkan bubur lambuk dalam kuantiti yang banyak dalam masa kira-kira tiga jam.

“Saya amat gembira apabila program ini  turut  disertai oleh kaum Tiong Hua dan berharap penyertaan kaum lain di masa akan datang. Inilah muafakat Johor seperti yang diterapkan kerajaan negeri.

“Paling membanggakan rekod yang berjaya dicipta ini adalah hasil usaha masyarakat Pasir Gudang," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang.

Acara memasak bubur lambuk berkenaan bermula kira-kira jam 8 pagi dan kesemua 350 periuk dapat disiapkan pada jam 11 pagi.

Sebanyak 52,500 bungkus bubur lambuk berjaya dihasilkan sebelum diagihkan kepada orang ramai khususnya di parlimen  berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...