Ahad, 20 Julai 2014

Terengganu bebas mesin judi #PBT@PDRM


KUALA TERENGGANU - Terengganu bebas daripada kegiatan mesin judi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, katanya kementerian mengharapkan kerajaan negeri Terengganu melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengekalkan kecemerlangan itu dan tidak membenarkan pengeluaran lesen Pusat Hiburan Keluarga yang menjadi punca kegiatan itu.

"Tentunya kita mengharapkan kerajaan negeri melalui PBT dan pegawai-pegawai daerah agar jangan membenarkan pengeluaran lesen Pusat Hiburan Keluarga yang kononnya keluarga yang berhibur tapi sebenarnya penjudi-penjudi yang berhibur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri di Kem Batalion 9 Pasukan Gerakan Am Kubang Badak di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada polis Terengganu kerana berjaya menurunkan kadar jenayah di Terengganu sebanyak 13.22 peratus iaitu 1,753 kes dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding 2,020 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Beliau turut mendedahkan seramai 275,314 pemegang MyKad di Terengganu masih belum menukarnya kepada MyKad versi baharu yang mempunyai 13 ciri keselamatan dan berharap mereka akan segera berbuat demikian. – Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...