KUALA TERENGGANU, 17 Julai (Bernama) -- Kemaman dan Kuala
Terengganu bakal berdepan gangguan bekalan air bersih dalam tempoh dua hingga
lima tahun lagi jika projek menaik taraf dan membina loji baharu lambat
dijalankan.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd
(SATU), Husain Embong berkata Kemaman paling kritikal kerana kapasiti loji
rawatan air di Bukit Sah, Chukai kini sudah mencapai tahap maksimum.
"Sepatutnya projek menaik taraf loji air di Bukit Sah
dan pembinaan satu lagi loji rawatan air serta sebuah empangan kecil di bukit
itu sudah patut diteruskan namun terdapat halangan ketika ini.
"Melihat keadaan sekarang di Kemaman, kalau kita tiada lagi
infrastruktur itu, saya jangkakan dalam masa dua hingga tiga tahun lagi bekalan
air kritikal terutama sekali di kawasan perindustrian yang permintaannya
semakin meningkat selain pengguna kawasan domestik akan turut terkesan,"
katanya kepada pemberita pada majlis SATU bertemu pelanggan-pelanggan utamanya
di sini, Khamis.
Menurutnya pembinaan loji rawatan air lazimnya mengambil masa
satu hingga lima tahun, justeru pembinaan loji terbabit harus dilaksana segera.
Katanya di Kuala Terengganu pula loji baharu diperlukan
terutama di Kuala Nerus yang semakin pesat pembangunannya.
"Kita dah buat kajian dengan kemampuan loji kita di sini
cuma dapat bertahan sehingga 2016 dan lepas itu ia berada di peringkat maksimum
dan kalau ada lagi pertambahan bangunan, maka kita sudah tidak mampu
membekalkan air secara selesa lagi," katanya.
Tahun lepas, SATU mengumumkan pembinaan dua loji rawatan air
baharu di Kemaman dan Kuala Nerus bagi menampung keperluan yang semakin
bertambah di kedua-dua daerah itu.
Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri Terengganu menerusi
Menteri Besar ketika itu Datuk Seri Ahmad Said akan mendapatkan pembiayaan
modal pinjaman RM900 juta daripada kerajaan pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan