Alor
Setar: Tempoh tahanan reman terhadap seorang blogger yang melakukan ugutan
bunuh terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha
Sulit Sultan Kedah Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah disambung empat hari
lagi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar
Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi berkata, tahanan reman
lelaki berusia 37 tahun itu berakhir semalam, sebelum dilanjutkan sehingga 20
Julai ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, permohonan lanjutan
tempoh reman itu dibuat bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 506,
Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.
Harian
Metro sebelum ini melaporkan, lelaki berkenaan ditahan di Shah Alam, Selangor
kira-kira jam 5.45 petang pada 13 Julai lalu, ditahan reman sehingga semalam
selepas mendapat perintah Mahkamah Majistret Alor Setar.
Sebelum
itu, blogger terbabit memuatkan komen pada gambar Mukhriz dan Syed Unan dalam
laman Facebook mahu menembak mereka jika ada pihak yang sanggup memberinya
pistol dan peluru.
“Jika ada sesiapa yang sanggup bagi
aku pistol dan peluru nescaya aku akan tembak mampus dua makhluk ini dulu
sebelum tembak Sonny Ho si kafir harbi.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan