Selasa, 5 Ogos 2014

DATUK AHMAD RAZIF SEDIA BERSEMUKA MAT REMPIT !!!

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sedia bersemuka dengan mat rempit bagi menyelesaikan masalah sosial itu yang tidak berkesudahan sehingga kini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan wakil mat rempit bagi mendengar cadangan-cadangan pihak terlibat dalam mengatasi isu yang membimbangkan dan mencalar imej Terengganu Darul Iman.

Ahmad Razif berkata, pihaknya turut menerima kertas cadangan daripada mat rempit dalam membincangkan permasalahan rempit di negeri ini.

“Kita sudah menerima ‘proposal’ daripada mat rempit sejak seminggu lalu dan selepas ini wakil mereka akan buat perjumpaan dengan saya. Kita hendak merancang untuk melaksanakan beberapa program dengan mereka.


“Kita juga akan membuat perbincangan dengan wakil mereka untuk kita mendengar apakah cadangan mereka kerana mereka lebih tahu apa yang mereka kehendaki,” katanya kepada pemberita ketika hadir di majlis rumah terbuka Aidilfitri Ketua Pemuda Umno Kuala Terengganu, di Durian Burung, di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada pihak terlibat mengenai kawasan Durian Burung dan Wakaf Mempelam yang sentiasa dijadikan lokasi rempit memandangkan perkara terbabit tidak berlaku di tempat lain.


Jelasnya, perkara itu perlu diambil tahu dalam mendapatkan maklumat supaya pihaknya dapat menguruskan beberapa perkara dalam menyelesaikan isu yang sekian lama berlaku, lebih-lebih lagi menjelang hujung minggu.

“Insya-Allah, kita akan berbincang dengan wakil mereka. Kerajaan negeri juga memang sudah bersetuju buat satu litar untuk mereka membuat latihan atau perlumbaan secara selamat, tetapi kita perlu dapatkan maklum balas daripada mereka kerana saya bimbang apabila kita siap litar, perkara yang berlaku tidak boleh selesai.


“Kalau buat litar kita harap (masalah rempit) biar selesai, kalau tidak selesai tidak bermaknalah kita buat litar itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...